Mensyukuri keberadaan masjid di bawah tadahan





Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali / Foto : Ihsan Haji Mohd. Rudy Haji Samsudin





 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 27 April. - Semua masjid, surau dan balai ibadat yang ada itu selayaknya disyukuri oleh penduduk dalam kawasan tadahan atau 'qaryah'nya. Dengan berpegang kepada konsep bersyukur yang sebenarnya untuk tidak sahaja meraih pahala bahkan untuk memperoleh nilai tambah yang dijanjikan oleh Allah dengan mensyukuri keberadaan masjid secara yang sedemikian itu.

 

Sebaliknya bagi mengelakkan kemurkaan Allah apabila keberadaan masjid yang sayugia disyukuri namun sebaliknya dikufuri. Mengkufuri keberadaannya itu ialah secara tidak mengambil peduli terhadapnya lalu tidak merasakan atau memberikan respons dan sikap turut sama bertanggungjawab menjayakan tujuan keberadaannya bahkan sebaliknya mengabaikan, mensia-siakan apatah lagi jika sampai menyalah gunakannya.

 

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat seterusnya menyeru orang ramai mensyukuri keberadaan masjid-masjid oleh sekalian yang berkenaan selain penduduk dalam tadahan kawasan 'qaryah' masjid, Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang bersempena 'berkukna' daya baik ini.

 

“Seyogia juga dihayati dengan baik oleh pihak-pihak berkenaan terutama sekali pihak-pihak pengurusannya pada peringkat kepimpinan masjid iaitu pegawai-pegawainya yang terdiri daripada imam dan kerabat setugasnya bersama ahli-ahli segenap peringkat kepimpinan jawatankuasa takmirnya," tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Memperingati Penggunaan Bangunan Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak Ke-25 Tahun dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.

 

Adapun majlis anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak ini adalah untuk memperingati sempena 25 tahun penggunaan masjid berkenaan, juga mengenang jasa mantan-mantan dan bilal yang pernah bertugas di masjid ini selain merealisasikan masjid berkenaan sebagai tempat pusat ilmu, dengan hasrat agar ia akan berfungsi sebagai pusat pertemuan masyarakat dan penduduk.

 

Sementara itu, untuk menjadikan masjid ini tempat beribadah yang kondusif, selesa dan menarik minat penduduk dan pengunjungnya dan rasa kekitaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli jawatankuasa takmir masjid, penduduk kampung dan sekitarnya dalam sama-sama mengimarahkan masjid.

 

Majlis juga turut diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian derma anak yatim bagi Kampung Jangsak.

 

Masjid ini dibangunkan dengan kutipan dana sebagai pesambah daripada Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap semua peringkat dan lapisan pegawai-pegawai kerajaan, semua peringkat dan lapisan anggota dalam Pasukan Polis Diraja Brunei dan anggota dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Pembinaannya telah siap pada 27 September 1997 dengan kos sebanyak lebih BND4,136,070.

 

Close